Konsep dan Proses Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh

Tarikh Mula Diterbitkan: 14 Ogos 2014
Tarikh Suntingan Terakhir: 3 Mac 2020

Versi PDF 

“kadang kala menyembuh; kerap melegakan; sentiasa menyelesakan”
Ambroise Pare’, Doktor Perancis 1510-1590

PENGENALAN

Penjagaan pesakit secara menyeluruh ialah suatu pendekatan yang berasaskan falsafah memberi perkhidmatan yang memenuhi semua keperluan pesakit dari segi fizikal, psikologi dan sosial. Pendekatan ini juga disebut sebagai amalan “perubatan holistik”. Objektif, strategi dan pendekatan yang jelas diperlukan untuk membolehkan konsep ini dipraktikkean. Konsep ini boleh digunapakai untuk dua tujuan utama iaitu:

  • Pengolahan kaedah dan komponen penjagaan pesakit
  • Merancang rangka kerja penjagaan pesakit yang bersepadu dan menyeluruh

KANDUNGAN AKTIVITI PENJAGAAN PESAKIT

Skop aktiviti penjagaan seseorang pesakit merangkumi semua usaha kearah menyelesaikan masalah kesihatannya dan juga perkhidmatan lain yang membolehkan aktiviti ini dijalankan dengan lancar. Aktiviti penjagaan pesakit (patient care) boleh dibahagikan kepada:

  1. Penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care)
  2. Perkhidmatan hospitaliti (menyediakan persekitaran dan suasana yang kondusif)
  3. Prosedur pentadbiran dan komunikasi (mengaturkan aktiviti dan memberi penerangan)

Perbincangan ini ditumpukan kepada aktiviti penjagaan klinikal pesakit. Komponen-komponen pengurusan pesakit yang lain disentuh sepintas lalu untuk menunjukkan bahawa ia juga penting.

PROSES KERJA PENJAGAAN PESAKIT

Dari segi prosedur kerja, aktiviti penjagaan klinikal pesakit (clinical patient care) terdiri dari proses proses berikut:

  • Penjanaan, pengutipan dan pengumpulan data klinikal (melalui temubual, pemeriksaan, sumber sediada seperti rekod pesakit, surat rujukan dsb.)
  • Penganalisaan dan pentafsiran data untuk membuat diagnosis dan menentukan keperluan pesakit
  • Perancangan penjagaan kes
  • Perawatan
  • Pemantauan perkembangan penyakit
  • Pengawasan kesan dan hasil rawatan
  • Kajian semula diagnosis
  • Penilaian semula rawatan
  • Rumusan kes dan Penjagaan berterusan

Penjagaan klinikal pesakit boleh juga dianggap sebagai aktiviti pengumpulan dan pentafsiran data. Data dianalisa serta ditafsir untuk membolehkan kesimpulan dicapai dan keputusan dibuat. Seterusnya, tindakan diambil berdasarkan keputusan tersebut. Setiap aktiviti direkodkan supaya pelaksanaan pelan dapat dipantau. Selepas itu, lebih banyak data dikumpulkan untuk membuktikan  kejayaan pencapaian matlamat rawatan. Penjagaan pesakit secara menyeluruh memerlukan data yang mencukupi, sesuai, tepat dan terkini.

Algoritma proses kerja penjagaan pesakit secara umum ditunjukkan di rajah dibawah.

Aliran Kerja Klinikal
Agoritma Proses Klinikal

PELAN PENJAGAAN BERSEPADU

Pengubahan pelan penjagaan bersepadu (integrated care plan) yang merangkumi kesemua keperluan pesakit memerlukan maklumat yang mencukupi.

Secara asasnya, jumlah dan jenis data yang perlu  dikutip ditentukan oleh dua perkara utama:

  • Skop penjagaan
  • Objektif penjagaan

Maklumat yang terkumpul perlu dianalisa dengan teliti sebelum kesimpulan dibuat. Didalam penjagaan pesakit klinikal, kesimpulan ini diolahkan sebagai diagnosis, yang selanjutnya menentukan bentuk rawatan. Data yang lengkap, tepat dan berkualiti membolehkan diagnosis yang tepat. Tahap ketepatan digambarkan dengan istilah seperti diagnosis awalan (provisional), terkini (working), tanggapan (presumptive), muktamat (definitive) dan terakhir (final).

Kesesuaian rawatan bergantung besar kepada diagnosis dan juga profil pesakit.

Membina Profil Pesakit Daripada Data Yang Lengkap

Suatu keperluan asas bagi mengurus pesakit ia-lah mengenali pesakit dan masalahnya dengan teliti bersandarkan set maklumat yang lengkap. Sebanyak mungkin maklumat mengenai pesakit dikumpul secara berterusan. Data ini digunakan sebagai landasan kepada sebarang keputusan dan untuk menentukan kandungan pelan penjagaan pesakit itu.

Sumber Data & Cara Mengumpulnya

Perawat biasanya mengumpul data melalui proses berikut:

  1. Temubual untuk:
    • mengambil sejarah / riwayat penyakit
    • mengenalpasti profil pesakit
  2. Pemeriksaan fizikal
  3. Ujian klinikal ringkas
  4. Penyiasatan termasuk
    • Penyiasatan makmal,
    • Pengimejan,
    • Pemeriksaan Endoskopi dan lain-lain
  5. Mendapatkan data dari surat rujukan dan rekod lampau
  6. Merekodkan penemuan semasa membuat rawatan contohnya semasa pembedahan
  7. Memerhati dan memantau pesakit secara berterusan

Pemberi khidmat klinikal (doktor beserta petugas lain) akan mengumpul kesemua data ini, mentafsirkannya, merumuskan kesimpulan dan membuat keputusan. Tindakan dalam bentuk pelbagai terapi akan diambil dan lebih banyak data dikumpulkan untuk mengawasi kejayaan rawatan dan memantau perkembangan penyakit.

Kesemua data yang diperlukan tidak mungkin dikumpul sekaligus diperingkat awal. Tetapi setelah lebih banyak data mengenai pesakit dikumpulkan sepanjang tempoh penjagaan keatasnya, profil sepenuhnya perlulah dibina dan segala keperluannya dikenalpasti.

MENENTUKAN SKOP PENJAGAAN

Skop Penjagaan dari Diagnosis yang Komprehensif

Untuk menawarkan penjagaan yang lengkap, skop penjagaan pesakit klinikal perlu meliputi kesemua aspek kesihatan pesakit. Lazimnya istilah diagnosis terbatas kepada penyakit yang sedang dialami oleh pesakit. Sepatutnya, diagnosis yang lebih komprehensif perlu merangkumi semua masalah kesihatan yang dialaminya, ia-itu:

  1. Penyakit utama
  2. Penyakit sampingan
  3. Penyakit kronik sediada (yang telah dikenalpasti sebelumnya)
  4. Penyakit terdahulu yang belum sembuh atau masih aktif
  5. Kehilangan upaya dan kecacatan sediada

Skop Penjagaan yang Merangkumi Pelbagai Aspek

Bagi setiap penyakit yang dikenalpasti, adalah penting untuk menghuisioslogiraikan masalahnya dengan mengambilkira pelbagai aspek berikut:

  1. Pathologi penyakit yang dialami
  2. Tahap keterukan penyakit
  3. Komplikasi dan perubahan morfologi (anatomi) dan kesan f pelbagai sistem
  4. Gejala dan ganguan keselesaan yang perlu dikurangkan atau dihapuskan
  5. Kehilangan upaya atau fungsi yang disebabkan oleh penyakit
  6. Gangguan pemakanan (nutrition)
  7. Kesan psikologikal dan kesejahteraan sosial
  8. Kesan dari penyakit kronik sediada
  9. Kesan keatas penyakit terdahulu yang belum sembuh

Disamping tumpuan kepada penyakit itu sendiri, pertimbangan keatas keadaan pesakit sebelum dilanda penyakitnya juga penting; termasuklah:

  1. Tahap kesihatan sediada (sebelum sakit)
  2. Status pemakanan (nutrition)
  3. Gaya hidup dan tahap aktiviti
  4. Pengetahuan dan sikap terhadap kesihatan secara umumyang dan penyakit dihidapi
  5. Latar belakang mengenai alahan (allergi), kesan rawatan terdahulu seperti pembedahan/prosedur/bius (anaesthesia) dan kecederaan masa lepas

PELAN PENJAGAAN YANG KOMPREHENSIF

Objektif Penjagaan Pesakit

Objektif rawatan perlu ditentukan pada peringkat terawal pengurusan pesakit. Walupun rawatan muktamad hanya boleh diberikan setelah diagnosis yang tepat ditentukan, namun sebelum itu pelbagai rawatan boleh ditawarkan kepada pesakit.

Secara amnya objektif rawatan atau terapi adalah untuk:

  1. Menghapuskan atau mengurangkankan kesan-kesan penyakit
  2. Mengekalkan, mengembalikan atau memperbaiki tahap kesihatan
  3. Mengelakkan atau mengurangkankan komplikasi rawatan
  4. Mengawal penyakit dari menjadi lebih teruk
  5. Mencegah penyakit dari berulang

Bergantung kepada jenis penyakit dan keadaan pesakit, bentuk rawatan ditentukan oleh objektif yang diharapkan dan boleh dibahagikan secara umum kepada tiga kategori utama:

  • Terapi penyembuhan
  • Terapi pengawalan.
  • Terapi paliatif

Terapi penyembuhan ialah usaha sedaya upaya untuk mencapai hasrat menghilangkan terus ataupun menghentikan proses penyakit yang berpotensi untuk disembuhkan serta mengembalikan fungsi ketahap maksimum yang mungkin. Terapi pengawalan digunakan untuk penyakit yang kronik (contohnya penyakit diabetes dan darah tinggi) atau memperlahanan perkembangan penyakit yang sudah merebak supaya dengan rawatan, komplikasi dapat dihindarkan, kualiti hidup diperbaiki dan hayat pesakit dilanjutkan. Terapi paliatif terdiri dari beberapa kaedah rawatan yang diberikan bagi mengurangkan kesan penyakit yang sudah teruk dan tiada mungkin sembuh sepenuhnya.

Ketigatiga pendekatan utama ini mengandungi komponen yang serupa iaitu :-

  • Terapi muktamad
  • Terapi melegakan gejala (symptomatic treatment)
  • Terapi sokongan
  • Usaha pencegahan
  • Pemulihan (rehabilitasi)
  • Penggalakan (promosi)

Unsur rawatan yang perlu diberi perhatian teliti dan diutamakan ditentukan oleh dua faktor penting ia-itu tahap keterukan (severity) penyakit dan kesannya keatas keselesaan pesakit.

CARA MENCAPAI OBJEKTIF PENJAGAAN PESAKIT

Perhatian yang sepatutnya harus diberi kepada semua masalah kesihatan yang sedang dihidapi oleh pesakit samada yang baru berlaku ataupun telah lama wujud.

Penilaian Penyakit Utama

Menentukan Gred Penyakit dan Tahap Keterukkan

Tahap (stage) dan gred (grade) keterukkan sesuatu penyakit perlu ditentukan untuk tujuan:

  • Menentukan prognosis
  • Memilih jenis rawatan yang paling sesuai

Tahap dan gred seharusnya tidak bertumpu hanya pada penyakit utama tetapi meliputi keseluruhan kesihatan pesakit iaitu keterukkan gejala, ganguan fisiologi, kesan kekurangan pemakanan, gangguan psikologi dan gangguan sosial.

Penyakit Sampingan Yang Berlaku Serentak

Pesakit yang menghidapi penyakit yang melibatkan satu sistem mungkin sedang menderita daripada patologi pada sistem lain. Contohnya, pesakit yang menghidapi Radang Pundi Hempedu Akut (Acute Cholecystitis) atau Jangkitan Appendiks (Perforated Appendicitis), mungkin juga menghidapi Jangkitan Para-paru (Pneumonia) di mana sekiranya tidak dikesan boleh mendatangkan kesan yang buruk.

Status Kesihatan Sediada

Sesuatu penyakit mengakibatkan gejala dan perubahan fungsi yang berbeza dikalangan pesakit. Begitu jua tindakbalas setiap individu dalam menghadapi penyakit begitu berlainan. Faktor utama yang memberi perbezaan ini adalah tahap kesihatan sediada yang bergantung pula kepada:

  • Kewujudan penyakit sediada
  • Taraf imuniti
  • Taraf pemakanan
  • Kestabilan minda dan perasaan
  • Kebolehan berkomunikasi
  • Kehadiran sokongan sosial

Penyakit Sediada

Masalah kesihatan sediada (yang telah wujud sebelum berlakunya penyakit terkini) boleh dikesan semasa mengambil sejarah pesakit atau ujian saringan. Sumber lain ialah dari rekod perubatan terdahulu. Dengan itu rawatan terdahulu boleh diteruskan ataupun, dalam situasi tertentu, diubah atau ditangguhkan untuk sementara waktu.

Penyaringan Penyakit Kronik Lazim

Saringan melalui penilaian kesihatan dan penyiasatan secara umum perlu dibuat untuk mengenalpasti penyakit-penyakit kronik yang lazim; walaupun pesakit tidak menyatakannya secara sukarela. Jika dikesan, rawatan haruslah dimulakan dan diteruskan. Perawat digalakkan merujuk atau membuat konsultasi dengan perawat lain yang lebih pakar atau berkemahiran khusus dalam bidang berkaitan.

Antara pelbagai penyakit kronik yang lazim termasuklah:

  • Asma / Chronic Obstructive Pulmonary Disease (penyakit salur pernafasan tersumbat secarsa kronik)
  • Kencing manis
  • Darah tinggi
  • Sakit jantung (Ischemic Heart Disease)
  • Gangguan fungsi ginjal (Renal impairment)
  • Penyakt kulit yang kronik
  • Penyakit psikiatrik

Seringkali, pesakit gagal mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit yang kurang serius dan juga tidak meminta nasihat mengenai aspek kesihatan mereka yang terjejas. Mungkin mereka menganggap bahawa perkara tersebut adalah remeh atau mereka tidak menyedari masalah mereka boleh dielesaikan. Penyakit kurang serius atau masalah kesihatan yang kerapkali tidak diendahkan termasuklah :

  • Immunisasi yang tidak lengkap dikalangan kanak-kanak
  • Keadaan kesihatan gigi yang tidak memuaskan
  • Penyakit kulit
  • Jangkitan cacing
  • Masalah pemakanan (anemia, obesiti)
  • Masalah psikiatri
  • Kecacatan dan kehilangan upaya (angota badan, penglihatan, pendengaran, pertuturan, dan sebagainya)

Memandangkan pengetahuan pesakit adalah terhad, perawat perlu perhatin dan bertindak sebagai penganjur bagi pihak pesakit dengan menggalakkannya memeberi perhatian kepada kesihatan dirinya. Apabila diminta oleh pesakit, perawat hendaklah memberikan bantuan yang diperlukan atau merujuk pesakit kepada pusat rawatan atau perawat yang sesuai.

RAWATAN MUKTAMAD ATAU KHUSUS

Objektif Rawatan

Sesuatu skim rawatan hanya berkesan jika ia sepadan (cocok) dengan jenis penyakit dan tahap keterukannya. Banyak penyakit dapat disembuhkan. Sesetengahnya dapat distabilkan dan kemudianya dikawal supaya komplikasi tidak berlaku atau menjadi lebih serius. Ada pula penyakit yang sudah terlanjur dan rawatan yang dapat diberikan terhad kepada usaha melegakan serta meningkat kualiti hidup. Dengan kata lain, objektif rawatan muktamad (definitive) terbahagi kepada usaha mencapai kesemua atau sebahagian dari kemungkinan berikut:

  • Menyembuhkan
  • Mengawal dan mengurangkan akibat
  • Melegakan dan mekemperbaiki fungsi

Pemilihan Modaliti Rawatan

Kini terdapat pelbagai bentuk modaliti (teknologi) yang digunapakai untuk rawatan. Hampir setiap hari kaedah rawatan baru ditemui dan diperkenalkan. Namun begitu, kebanyakan jenis rawatan perubatan moden boleh dibahagikan kepada modaliti berikut:

  • Penggunaan ubat-ubatan (medication or medical therapy)
  • Pembedahan dan prosedur invasif (surgery or invasive procedures)
  • Penggunaan tenaga fisikal (contohnya manipulasi, radioterapi, stimulasi elektrik dsb.)
  • Kaedah psikologi (Psikoterapi, Kaunseling, Bantuan Sosial)

Perlu diingat bahawa kaedah kaedah asas ini digunakan oleh semua kategori perawat tanpa batasan.

Rawatan perubatan digunakan oleh kebanyakan kategori perawat. Pembahagian perawat kepada pakar perubatan dan pakar pembedahan, sudah tidak begitu jelas kerana kedu kategori ini menggunakan keduadua pedekatan itu disamping modaliti lain.

Rawatan pembedahan boleh ditakrifkan sebagai teknik merubah morphologi sesuatu anggota atau bahagian badan. Kaedah surgeri kini berubah dengan penggunaan saluran akses yang kecil (minimal access surgery) atau melalui saluran semulajadi (endoscopic surgery), peralatan yang digunakan juga kecil dan mengakibatkan perubahan morphologi yang sedikit. Ternyata, pakar pakar seperti Pakar Radiologi, Kardiologi dan Endoskopi semuanya memakai kaedah pembedahan.

Kaedah psikologi atau psikososial juga digunakan oleh seluruh petugas kesihatan tidak semestinya Pakar Psikiatri sahaja.

Penggunaan Pelbagai Modaliti dengan Berkesan & Selamat

Perubatan moden boleh memberi banyak kebaikan tetapi berkemungkinan men”datangkan keburukkan melalui kesan sampingan jangka pendek dan jangka panjang. Bagi setiap kaedah rawatan dan ujian, beberapa prasyarat tersendiri (pre-requisite requirement) perlu diikuti untuk memastikan supaya:

  • hasilnya berkesan (effective),
  • keselamatan pesakit terjamin (safe)

Sesetengah rawatan atau ujian hanya berkesan dalam keadaan tertentu sahaja. Jadi adalah menjadi kewajipan seseorang perawat untuk memilih modaliti yang paling sesuai (appropriate). Ia juga perlu memastikan bahawa pesakit berada didalam keadaan optima untuk menjalani rawatan atau ujian tersebut.

Rawatan Paliatif

Walaupun sesuatu penyakit tidak dapat disembuhkan atau dikawal, pelbagai rawatan dapat ditawarkan kepada pesakit. Modaliti yang digunakan untuk menyembuh penyakit boleh juga digunakan untuk rawatan paliatif dengan tujuaan berlainan seperti mengekalkan fungsi dan melegakan kesengsaraan. Dengan itu, pesakit dapat meneruskan baki kehidupannya dengan kualiti hidup yang memuaskan. Dalam konteks ini, jika diketahui prognosis penyakitnya adalah tidak baik, adalah tidak wajar untuk mendedahkan pesakit kepada risiko dan kesan sampingan sesuatu rawatan serta membelanjakan wang yang bayak. Rawatan melegakan gejala dan rawatan sokongan merupakan teras utama bagi rawatan paliatif. Ia dihargai oleh pesakit serta keluarganya dan sepatutnya memberi kepuasan kepada perawat.

RAWATA MELEGAKAN GEJALA (Symptom)

Harapan utama pesakit semasa mendapatkan rawatan ialah supaya gejala penyakit yang dihadapinya dapat dihilangkan atau dikurangkan.

Penilaian dan Rawatan Gejala

Wujudnya sesuatu gejala dapat diketahui dengan memberi perhatian teliti terhadap apa yang di rungutkan oleh pesakit secara spontan (explicit complaints) semasa menemubual pesakit. Perawat perlu meluangkan masa untuk mendengar rungutan pesakit atau warisnya. Ada juga gejala yang tidak enak yang tidak disebut oleh pesakit secara sukarela (explicitly) tetapi boleh difahami; antara lain dari riak muka atau tingkah lakunya (implicit complaints).

Antara gejala utama yang menggangu pesakit ialah:

  • Kesakitan (dalam pelbagai bentuk)
  • Ketidakselesaan
  • Kurang selera makan
  • Tidak boleh tidur atau tidur terganggu
  • Ganguan pelbagai deria
  • Ganguan fungsi membuang air kecil dan besar
  • Masaalah/ganguan fungsi seksual
  • Gangguan psikososial
  • Kehilangan keupayaan berinteraksi dengan orang lain
  • Kehilangan keupayaan atau kelemahan fisikal 
  • Kehilangan keupayaan atau kelemahan mental (berfikir)

Perawat perlu memberi perhatian yang cepat dan setimpal untuk melegakan gejala sejajar dengan usaha menentukan diagnosa dan memberi rawatan definitif.

RAWATAN SOKONGAN

Rawatan sokongan merupakan sebahagian dari rawatan keseluruhan dan memainkan peranan yang sama penting dengan rawatan khusus.

Resusitasi dan Penstabilan

Gangguan fisiologi kepada pelbagai sistem utama sering belaku akibat kesan penyakit. Yang selalu terlibat ialah sistem respiratori, pengaliran darah, sistem kumbahan serta keseimbangan cecair dan elektrolit. Tindakan segera perlu dibuat untuk menstabilkan kembali fungsi sistem yang terlibat.

Menilai Serta Memperbaiki Tahap Pemakanan

Kebanyakan penyakit memberi kesan kepada tahap pemakanan dengan mengurangkan selera makan, menganggu kemampuan untuk makan dan minum serta sistem penghadaman. Dengan mengetahui tahap pemakanan, perawat dapat memastikan maknanan yang diberikan adalah mencukupi dan seimbang. Sokongan pemakanan sangat diperlukan semasa rawatan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi.

Penilaian dan Terapi Psikologi

Keadaan psikologi pesakit adalah sama penting dengan aspek fizikalnya. Keadaan minda pesakit sebelum berlakunya penyakit perlu diketahui. Kesan penyakit, dan tindakbalas pesakit terhadap kesan itu juga perlu dinilai. Pesakit perlu diberi penjelasan tentang penyakit yang dihidapi supaya ia bersedia dari segi mental untuk menerima kenyataan, faham dan yakin terhadap apa yang akan berlaku, dan teransang untuk menerima rawatan.

Kesan penyakit kepada kehidupan sosial pesakit harus dipertimbangkan termasuk dari aspek perhubungan dan interaksi pesakit dengan keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Untuk sesetengah penyakit, kemampuan pesakit untuk bekerja atau melakukan aktiviti lain (termasuk riadah dan hobi) turut terjejas.

USAHA PENCEGAHAN

Pencegahan adalah perkara yang sangat penting dalam penjagaan pesakit. Pesakit yang menghidapi sesuatu penyakit terdedah kepada kemungkinan untuk mendapat penyakit lain atau mengalami kecederaan semasa rawatan. Dalam konteks penjagaan pesakit, pencegahan primari merujuk kepada pencegahan daripada kemungkinan belakunya penyakit-penyakit atau kecederaan baru semasa rawatan diberi. Penyakit dan kecederaan yang mungkin berlaku semasa rawatan tetapi boleh dicegah termasuklah jangkitan (nasocomial infection), kudis akibat tekanan (pressure sore), kecederaan mata, kesilapan pemberian ubatan dan sesetengah komplikasi surgeri mahupun bius. Penyakit lain yang boleh dicegah termasuklah Pulmonary atelectasis dan Deep vein thombosis.

Pencegahan sekunder boleh ditakrifkan sebagai usaha menghadkan kesan buruk yang disebabkan oleh penyakit yang dialami. Ini termasuk langkah untuk menghentikan penyakit daripada melarat, menyingkatkan jangkamasa serta tahap penderitaan dan mencegah berlakunya kecacatan.

Pencegahan tertiari berbentuk usaha pemulihan utuk menghadkan kecacatan atau mengembalikan fungsi yang hilang.

PEMULIHAN

Pemulihan (rehabilitation) ialah suatu komponen yang penting dalam penjagaan pesakit. Ia bermula dari peringkat awal penjagaan pesakit dan diteruskan sehingga fungsi pulih sepenuhnya atau kehilangan upaya dikurangkan semaksimum yang munkin.

Objektif umum rehabilitasi adalah untuk mengembalikan pesakit kepada masyarakat sebagai seorang yang berguna dan mempunyai kehidupan yang berkualiti.

Rawatan pemulihan (rehabilitasi) mempunyai dua fungsi dan objektif yang berkait rapat ia-itu:

  • Pencegahaan
  • Penyembuhan

Komplikasi yang boleh dihindarkan atau diperbaiki melalui rehabilitasi ia-lah:

  • Kehilangan upaya
  • Kecacatan
  • Kekurangan deria

Untuk mencegah, petugas perlu menjangkakan komplikasi yang mungkin berlaku dan mengambil tindakan pro-aktif untuk menghindarkannya dari berlaku.

Penilaian kehilangan upaya, kecacatan atau kekurangan deria, samada disebakan penyakit terkini atupun sudah sediada, adalah sebahagian dari diagnosis yang komprehensif.

Kaedah yang digunakan untuk rehabilitasi termasuklah:

  1. Pemulihan fizikal
  2. Latihan melakukan aktiviti tertentu
  3. Pengunaan alat bantuan
  4. Sokongan psikologikal
  5. Kaunseling
  6. Bantuan sosioekonomi

Tanggungjawab untuk menjalankan semua ini tidak bergantung pada jurupulih anggota (physiotherapist), jurupulih cara kerja atau kaunselor sahaja, tetapi seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab bersama doktor, jururawat dan petugas penjagaan kesihatan lain.

PENDIDIKAN PESAKIT

Pendidikan pesakit semestinya disertakan dalam strategi pengurusan setiap pesakit. Pendidikan bertujuan memastikan pesakit memahami:

  • Selok belok penyakitnya
  • Rawatan yang dirancang dan sedang dijalankan oleh perawat untuk memulihkan penyakitnya
  • Peranan pesakit sendiri dalam penjagaan kesihatannya

Tugas memberi penjelasan kepada pesakit juga menjadi tanggungjawab bersama semua petugas yang menjaga pesakit.

Penglibatan Pesakit & Waris Dalam Proses Penjagaan

Pesakit dapat menglibatkan diri dalam proses penjagaan penyakitnya jika ia digalakkan untuk berbuat demikian dan diberi maklumat yang mencukupi. Berbekalkan pemahaman yang jelas dan motivasi yang tinggi, pesakit akan lebih bersedia mematuhi arahan rawatan, berupaya mengambil bahagian dalam penjagaan diri mereka dan kurang berkemungkinan untuk menyalah tafsir tujuan dan kesan rawata. Pendidikkan juga diberikan kepada keluarga pesakit atau penjaga mengikut kesesuaian dan keperluan.

Promosi Kesihatan

Terdapat peluang yang luas untuk meyampaikan promosi kesihatan setiap kali pesakit datang kehospital, klinik atau pusat kesihatan. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi pendidikkan dan nasihat untuk semua aspek kesihatan yang tidak semestinya ada kena mengena dengan penyakit yang sedang dihadapinya. Aspek-aspek tersebut termasuk :

  • Mempraktik gaya hidup yang sihat
  • Kebersihan diri
  • Pengambilan makanan yang betul
  • Pencegahan penyakit (immunisasi, pencegahan kemalangan, perancangan keluarga, dan sebagainya)

MEMANTAU, MENILAI & MENJAGA SECARA BERTERUSAN

Pemantauan Berkala & Berterusan

Pemantauan adalah suatu proses kerja yang sangat penting dalam prosedur penjagaan pesakit. Ia mengaitkan fasa pengenalan masalah dengan fasa rawatan dan menentukan arahtuju selanjutnya. Perkara yang perlu dipantau secara berterusan ia-lah:

  • Tahap kesihatan pesakit
  • Perkembangan penyakit termasuk kesan pelbagai rawatan terhadapnya
  • Kesan yang tidak dikehendaki atau kesan sampingan rawatan

Oleh itu pemantauan perlu dimulakan dari peringkat awal lagi dan berakhir hanya selepas penyakit telah dianggap sembuh ataupun penjagaan telah dihentikan.

Pemantauan adalah berasaskan pelbagai kriteria dan bagi setiap kriteria cara pengukuran yang sesuai digunakan termasuklah:

  1. Pemerhatian berterusan gejala dan tanda
  2. Pengukuran berulangan parameter Fisiologi
  3. Pengukuran bersiri parameter Biokimia
  4. Ujian semula Mikrobiologi & Hematologi
  5. Ujian semula Pengimejan
  6. Ujian diagnostik berkala termasuk Endoskopi

Pemerhatian gejala dan penanda secara beterusan akan memberi gambaran samada pesakit bertambah sihat atau sebaliknya. Ia juga dapat menunjukkan samada penyakit bertambah teruk atau beransur pulih. Ukuran sesuatu parameter yang direkod secara berterusan boleh dipersembahkan dalam bentuk jadual (table) atau carta (chart), untuk mengambarkan alunan pergerakan naik-turun (trend). Sesetengah perubahan perlu tindakan segera. Sesetengah perubahan lain pula perlu dikaji dengan teliti sebelum sebarang perubahan dibuat.

Penilaian Semula

Prosedur penilaian merupakan penggunaan maklumat dari pemantauan untuk mendapat jawapan kepada soalan soalan berikut:

  1. Sudahkah segala keperluan pesakit diambilkira?
  2. Adakah semua tindakkan yang dirancang telah dilakukan?
  3. Adakah objektif yang dikehendaki tercapai?
  4. Apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan?

Perkara perkara yang harus dikaji semula termasuklah:

  1. Semakan semula perkembangan penyakit
  2. Semakan semula keadaan kesihatan pesakit
  3. Memantau kesan rawatan
  4. Semakan semula diagnosis
  5. Semakan samada keputusan (decisions) yang tepat telah dibuat
  6. Semakan samada rawatan yang dipilih adalah sesuai dan berkesan

Kaedah yang digunakan untuk penilaian semula samalah seperti kaedah digunakan untuk tujuan pemantauan. Untuk mendapat gambaran yang tepat data dari pemeriksaaan klinikal dan dari pelbagai jenis penyiasatan perlu dikumpulkan dan dianalisa secara menyeluruh. Tahap pencapaian hendaklah dibandingkan dengan matlamat (objective) rawatan untuk menentukan samada ia sudah tercapai atau terdapat kemajuan.

Sesetengah penyakit memerlukan pemantauan teliti dengan menggunakan ujian-ujian khusus contohnya tumor markers.

Walaubagaimanapun bagi kebanyakan penyakit, petanda yang digunpakai adalah tidak spesifik contohnya gejala, tanda dan perubahan biokimia. Dengan itu untuk mengetahui samada penyakit makin melarat atau telah berulang memerlukan kebijaksanaan yang terbentuk dari pengalaman, sikap berhati-hati dan tahap sangkaan yang tinggi (high index of suspicion).

Penjagaan Berterusan

Salah satu ciri utama penjagaan holistik adalah penjagaan berterusan. Kesinambungan penjagaan kes dipastikan supaya aktiviti rawatan menurut apa yang dirancangkan dan diteruskan hingga selesai. Ia juga boleh memastikan supaya pencapaian terdahulu dikekalkan dan manfaat ditambahkan. Pemantauan secara berterusan atau berkala perlu untuk menilai semula keadaan pesakit. Langkah yang perlu digunapakai untuk memastikan penjagaan berterusan berlaku termasuklah:

  • Memberi temujanji untuk rawatan susulan mengikut jadual yang yang sesuai dengan perkembangan penyakit dan kaedah rawatan
  • Menyediakan dan merekodkan plan perancangan rawatan lanjutan
  • Menentukan jenis jenis gejala atau parameter yang perlu dipantau untuk mengesan samada penyakit telah berulang ataupun komplikasi jangkapanjang telah berlaku
  • Menyediakan mekanisma untuk membolehkan pesakit sendiri mengesan lebih awal gejala atau komplikasi dan memberi mereka kemudahan untuk mendapat bantuan diluar jadual temujanji

Memandangkan ramai kakitangan terlibat dalam penjagaan pesakit, komunikasi yang baik anatara mereka adalah amat penting. Ia dijayakan melalui:

  • Dokumentasi rekod pesakit yang tepat dan lengkap
  • Surat rujukan atau pesanan lisan kepada petugas selanjutnya yang ditulis / disampaikan dengan baik
  • Ringkasan kes yang jelas dan mencukupi
  • Arahan secara lisan atau bertulis kepada pesakit yang mudah difahami
  • Galakan kepda pesakit untuk menurut plan rawatan (compliance)

Suatu perkara yang amat penting ialah menentukan siapakah perawat (doktor atau jururawat) yang bertindak sebagai penjaga utama pesakit serta bertanggungjawab menyelaras penjagaan kes (case coordinator, case manager). Di samping menentukan penjagaan adalah seprti yang diatur, aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah memastikan segala rawatan yang diberikan oleh pelbagai kakitangan perubatan tidak bercanggah tetapi mengikut objektif yang ditetapkan tanpa pertindihan atau konflik.

PROSEDUR PENTADBIRAN & KOMUNIKASI

Untuk memastikan kepuasan pesakit, prosedur pentadbiran dan komunikasi mestilah dilakukan secara lancar dan berkesan. Prosedur-prosedur ini termasuklah:

  1. Pendaftaran / prosedur kemasukan ke wad
  2. Penerangan / orientasi
  3. Mendapatkan persetujuan (taking consent)
  4. Pengeluaran bil dan Penerimaan bayaran
  5. Prosedur keluar wad / discaj
  6. Pemberian temujanji

Semua prosedur ini perlu diubahsuai mengikut keperluan pesakit. Keberkesanan komunikasi adalah amat penting. Kesalahan tafsir boleh menyebabkan pesakit tidak mengikut arahan (non-compliant), berlaku kesilapan atau kelambatan dan ini boleh membawa kesan yang tidak diingini.

Kakitangan hadapan yang memikul tanggungjawab pentadbiran seperti penyambut tetamu, kerani dan pegawai keselamatan perlulah sensitif terhadap keperluan pesakit yang bermasalah kesihatan tertentu dan perlu memahami secara kasar proses penjagaan klinikal mereka. Kakitangan klinikal pula perlu membiasakan diri dengan prosedur pentadbiran dan bersedia serta sanggup berkerjasama atau memberi bantuan.

Orientasi dan Memberi Penerangan

Orientasi dan memberi penerangan mengenai prosedur kemasukan, waktu melawat, bayaran dan sebagainya wajib diberikan sebagai sebahagian dari proses pengurusan pentadbiran dan komunikasi. Ia memerlukan pendekatan tersendiri dan perlu dibezakan dari aktiviti pendidikan pesakit.

PERKHIDMATAN HOSPITALITI

Komponen perkhidmatan hospitaliti termasuklah:

  1. Sambutan tetamu dan perkhidmatan kaunter
  2. Penginapan
  3. Makanan
  4. Penyediaan Kemudahan dan Persekitaran yang selesa
  5. Hiburan
  6. Informasi
  7. Kemudahan komunikasi
  8. Kemudahan pengangkutan
  9. Kemudahan untuk berinteraksi sosial

Perkhidmatan hospitaliti yang diberikan dengan perlu mengambilkira ciri-ciri penghormatan kepada hak kemanusiaan asas (basic human rights) berikut:

  • keselesaan
  • pengekalan hak dan had peribadi (maintenance of privacy) dan maruah (human dignity)
  • kerahsiaan maklumat (maintenance of confidentiality)
  • menentukan keselamatan diri dan harta kepunyaan pesakit
  • interaksi berasaskan saling menghormati dan simpati

MELAKSANAKAN PENJAGAAN SECARA MENYELURUH

Untuk menerapkan konsep penjagaan pesakit secra menyeluruh dalam sistem penyampaian khidmat kepada pesakit memerlukan perubahan dalam rekabentuk dan perancangan perkhidmatan. Manfaat optima hanya boleh dicapai jika semua yang berkaitan bekerjasama dan bertindak sebagai suatu pasukan. Polisi, prosedur dan suasana yang memberi ruang dan peluang kepada kalangan petugas profesional, pesakit dan saudara-maranya bersama berganding dan menyumbang kepada penjagaan kesihatan mestilah diwujudkan.

Pelaksanaan konsep ini memerlukan strategi berikut:

  1. penggunaan kombinasi pelbagai pendekatan
  2. penglibatan daripada semua petugas kesihatan
  3. menyediakan kemudahan dan suasana untuk integrasi
  4. memberi perhatian kepada perlunya koordinasi
  5. menyediaan mekanisma untuk penilaian berterusan

Perancangan Rawatan Berkonsepkan Penjagaan Menyeluruh

Pendekatan yang mungkin paling berkesan untuk melaksanakan konsep ini adalah penggunaan “Plan Penjagaan Pesakit Komprehensif”. Plan penjagaan pesakit seperti ini menumpukan perhatian kepada semua aspek masalah kesihatan pesakit baik untuk jangkamasa pendek mahupun jangka masa panjang. Secara konsepnya, pelan penjagaan berbentuk penjadualan pelbagai aktiviti penjagaan pesakit mengikut edaran masa. Tugas atau tanggungjawab semua yang terlibat juga ditentukan.

Pelan penjagaan boleh wujud sebagai konsep di sanubari kakitangan kesihatan atau berbentuk nyata sebagai plan bertulis. Pelan penjagaan pesakit secara individu terbit daripada pelan generik yang perlu dibentuk dahulu. Rekabentuk plan penjagaan generik (untuk sesuatu masalah kesihatan atau penyakit) memerlukan sumbangan melalui perbincangan antara semua kategori kakitangan kesihatan profesional yang terlibat di dalam penjagaan pesakit, contohnya melalui penubuhan “Pasukan Pelbagai Jabatan” (interdepartmental teams) atau “Pasukan Perantaraan-fungsi” (cross-functional teams). Buat masa ini, Garispanduan Amalan Klinikal (Clinical Practice Guidelines) boleh dijadikan asas untuk plan generik, namun amat sedikit daripadanya telah dimajukan berpandukan konsep penjagaan pesakit menyeluruh. Rangkakerja untuk pelan penjagaan generik berpandukan kepada falsafah penjagaan pesakit keseluruhan adalah seperti yang ditunjukkan di bawah.

 Pelan Penjagaan Pesakit berasaskan Proses Kerja Klinikal

Pelan Penjagaan Pesakit berasaskan Proses Kerja Klinikal
Pelan Penjagaan Pesakit berasaskan Proses Kerja Klinikal
⇒ [KEMBALI KEPERMULAAN]
⇒ [ARTIKEL LAIN]

12 thoughts on “Konsep dan Proses Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh”

    1. Saya mula menulis artikel ini semenjak tahun 1992-1993 untuk mendidik doktor dibawah latihan saya tentang objektif/tujuan penjagaan pesakit. Tajuk asalnya ialah “Total Patient Care”. Teras kepada kandungannya timbul dari kata hikmat “To cure sometimes, to relieve often, to comfort always” satu ungkapan lumrah yang biasanya disebut sebagai berasal dari Hippocrates / Edward Livingstone Trudeau / Ambroise Pare. Saya juga mengutarakan konsep ciri ciri kualiti perkhidmatan penjagaan pesakit dalam ceramah saya berikan mengenai kualiti. Namun semua yang dikemukanakan didalam artikel ini diketahui umum (common knowledge) dan datang dari pelabagai sumber termasuk pengalaman saya sendiri. Dengan rendah diri, saya menganggap pengolahan subjek ini sebagai satu nukilan asal (original) saya. Anda mungkin boleh mendapat artikel lain mengenai tajuk ini dengan mengoogle ‘holistic medicine/care’. Banyak juga artikel di www yang bertajuk ‘To cure sometimes, to relieve often, to comfort always”. Terima kasih kerana membaca artikel saya.

      Like

  1. Terima kasih Dr. atas perkongsian artikel yang penuh informasi dengan standard penulisan yang tinggi. Teruskan berkongsi ilmu yang ada, semoga ianya menjadi saham berterusan di akhirat kelak.

    Liked by 1 person

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Website and Blog of Dr. Abdollah Salleh