Sistem Maklumat Penjagaan Kesihatan

Pengenalan

Secara umum, fungsi sistem maklumat (informasi) dalam sesebuah organisasi ialah memudahkan cara petugas menjalankan kerja. Istilah ‘penjagaan kesihatan’ (healthcare) merujuk kepada satu perkhidmatan yang terdiri dari aktiviti perancangan, pengurusan dan pelaksanaan berbagai proses untuk tujuan:

  1. penjagaan orang yang menghidapi penyakit
  2. pengenalan pasti penyakit diperingkat awal
  3. pencegahan dan pengawalan penyakit
  4. aktiviti promosi kesihatan

Sistem Maklumat Penjagaan Kesihatan (Healthcare Information System) bertujuan memudahcara perkhidmatan yang diberikan melalui pengumpulan, perkongsian dan penggunaan maklumat. Sistem ini digunakan pada apa juga jenis fasiliti penjagaan kesihatan tetapi skop utama dibincangkan disini adalah Sistem Maklumat Hospital (Hospital Information System) yang membantu penjagaan orang yang menghidapi penyakit (pesakit). Namun begitu, sistem seperti yang dibincangkan disini boleh digunapakai di premis yang memberi khidmat penjagaan kesihatan lain seperti klinik kesihatan, klinik pesakit luar umum atau klinik spesialti tersendiri.

Sistem Maklumat Hospital (SMH)

Rekabentuk sistem maklumat bagi oragnisasi pembuatan (manufacturing) berbeza dengan organisasi pemberi khidmat seperti sebuah hospital. Dua perkara berikut perlu diambil kira semasa membina sistem maklumat untuk sebuah hospital:

  • fungsinya sebagai pemberi khidmat penjagaan kesihatan
  • keupayaan sistem maklumat

Maklumat merupakan sumber penting dan sistem maklumat adalah satu dari komponen asas bagi menjayakan operasi sesebuah hospital. Kepentingannya adalah dari segi membolehkan pengutipan, penyimpanan, perkongsian dan penggunaan maklumat. 

Sistem Maklumat Hospital terdiri dari beberapa sistem kecil atau modul yang menggunakan teknologi maklumat dan perhubungan (peralatan dan perisian) secara optimum untuk memudahkan pelbagai kerja di hospital.

Secara umum, sistem maklumat hospital memangkin dua fungsi perkhidmatan ia-itu:

  1. Memberi khidmat penjagaan kesihatan kepada pesakit (peranan utama)
  2. Mengurus hospital sebagai:
    • satu entiti perniagaan (bisnes),
    • pemberi khidmat hospitaliti (penyedian tempat makan, rehat dan tidur), 
    • sebuah fasiliti (bangunan dan kelengkapannya) 

Sistem ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasinya (disebut sebagai kegunaan primer). Namun, data yang tersedia boleh dikumpul dan dianalisiskan untuk tujuan pengurusan operasi dan strategik (penggunaan sekunder). Sistem Maklumat Hospital boleh dibahagikan secara kasar kepada dua cabang besar:

  1. Sistem maklumat untuk penjagaan pesakit
  2. Sistem maklumat untuk pengurusan hospital
Dua Bahagian Besar Sistem Maklumat Hospital

Pembahagian kepada dua cabang ini adalah dari segi konsep dan bukan pengasingan sebenar. Sistem maklumat yang membantu kerja kerja pentadbiran, pengurusan tenaga kerja, pengelolalaan hospitaliti, dan penyelenggaraan fasiliti diletakkan dibawah sistem untuk pengurusan. Artikel ini tentumpu kepada sistem maklumat untuk fungsi utama iaitu penjagaan pesakit.

Sumbangan Kepada Sistem Lain 

Sistem Maklumat Hospital perlu mempunyai kebolehan berkongsi data dengan menghantar keluar (eksport) dan memuat naik (import) data kepada-dari sistem lain di luar hospital untuk tujuan melangsungkan penjagaan pesakit melalui Pangkalan Data Klinikal Bersama atau untuk tujuan lain melalui Gudang Data (Data Warehouse). Ia perlu memberi sumbangan kepada pangkalan data di pusat pengurusan data kesihatan nasional (Health Information Management System) dengan membekalkan data untuk tujuan promosi kesihatan, pengawalan penyakit dan pengenalan pasti penyakit pada peringkat awal serta utuk tujuan perancangan, pengagihan sumber, epidemiologi, pengiraan case-mix dan lain lain di peringkat daerah, negeri dan nasional. Ia juga perlu menyumbang maklumat kepada sistem agensi pihak ketiga seperti Lembaga Keselamatan Penggunaan Ubat (Drug Safety Council), Jabatan Pendaftaran (lahir dan mati), Lembaga Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Polis, syarikat insuran dan banyak lagi.

Keupayaan Sistem Maklumat Berkomputer

Teknologi pengkomputeran maklumat (IT) mampu mengurus data dengan mudah, tepat dan cepat. Sistem pengurusan data berfungsi melaksanakan kesemua proses pengurusan data (pemprosesan data) yang tersenarai dibawah:

  1. Mengumpul data
  2. Menyimpan data
  3. Mengeluarkan data
  4. Menganalisis data
  5. Mempersembahkan data
  6. Memaparkan data

Para pemberi khidmat kesihatan menjana data melalui temubual, pemeriksaan, ujian dan pemantuan, Selepas penemuan dicatakan, maklumat disimpan dalam pangkalan data. Dari situ, data yang diperlukan boleh diterbitkan lalu dipilih, diuraikan, diadunkan, dianalisis, diolah dan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk termasuk dipaparkan di skrin komputer atau diterbitkan sebagai laporan yang boleh dihantar, disimpan dan dicetak.
Untuk maksud ini, sistem maklumat mengandungi komponen seperti digambarkan dibawah:

Pengurusan Data

Semua kemampuan ini disediakan didalam Sistem Maklumat Hospital seperti yang akan dibincangkan selanjutnya.

Keperluan Perkakasan (Hardware)

Perisian (software) sistem maklumat memerlukan berbagai perkakasan sebagai alat untuk

  1. membolehkan data dikutip dan dipertunjukkan.
  2. menempatkan aplikasi dan melayan permintaan untuk mendapatkan aplikasi,
  3. menyimpan data,
  4. memproses data
  5. melayan permintaan untuk mendapatkan data,
  6. mengalirkan data (menghantar dan menerima dari satu tempat ketempat lain)
Peralatan Sistem

Pengguna biasanya memasukkan data yang dikutip menggunakan komputer ditempat kerja mereka. Kerana digunakan oleh pengguna komputer komputer ini, sama ada komputer peribadi, komputer riba, atu alat perhubungan mudah alih, digelar sebagai komputer pengguna (client computers / clients). Data dimasukkan melalui papan penekan huruf (keyboard), tetikus (mouse) atau mesin pengimbas seperti pembaca barkod.

Komputer pelanggan yang sama juga digunakan untuk melihat paparan data. Melaluinya juga data dapat dipertunjukkan di layar atau dicetak.

Untuk apa juga tugas, petugas mendapatkan perisian aplikasi yang yang telah disediakan. Kerap kali, aplikasi tersebut dimuatkan dalam komputer berasingan yang disebut sebagai Pelayan Aplikasi. Tetapi aplikasi boleh juga dimuatkan kedalam Komputer Pelanggan berkapasiti tinggi (disebut sebagai Pelanggan Tebal).

Petugas akan menghantar data yang dikutip atau dihasilkan ke pangkalan data. Pangkalan data terdiri dari  sebuah komputer berkapasiti besar disebut sebagai Pelayan Data (Data Server) dan Peralatan Menyimpan Data (Data Storage Device) yang terdiri dari beberapa cakera padat atau pita magnetik. Pelayan data memerlukan perisian aplikasi operasi (operating system – System OS) dan penyimpanan data diurus oleh aplikasi Pengurus Pangkalan Data (Data Base Management System – DBMS) seperti MySQL, Oracle dll.
Petugas juga perlu memohon akses kepada apa jua data yang tersimpan yang diperlukan melalui Pelayan Data.

Kesemua perlatan diaturkan supaya menjadi suatu rangkaian yang membolehkan data dihantar dari satu tempat ke tempat lain. Perlatan disambungkan antara satu dengan lain melalui saluran pembawa data ia-itu kabel / dawai gentian optik atau tembaga.  Alat suis, penghurai data dan sambungan menetukan arah aliran data.

Komputer pelayan dan penyimpanan data diletakkan pada bilik khas yang di panggil Pusat Data (data centre). Pasukan pengurus diketuai oleh Pengurus Sistem (System Manger) ditugaskan untuk mengurus keseluruhan rangkaian supaya siap siaga, dengan bantuan Aplikasi Pengurusan Rangkaian (System Management Application).

Ciri Ciri Sistem Maklumat Hospital

Pendekatan Untuk Merekabentuk dan Membina Sistem

Pihak hospital boleh berusaha untuk merekabentuk dan membina sistem maklumatnya sendiri atau membeli applikasi sediada dari pembekal. Usaha membina sistem untuk semua keperluan sebuah hospital adalah sangat rumit serta memerlukan sumber tenaga dan kepakaran yang tinggi. Ia mengambil masa sekurangkurangnya empat hingga lima tahun dan menelan belanja yang mahal. Kecenderongan kebanyakan hospital yang mengambil pendekatan ini ialah membina dan melaksanakan secara modular. Ini menimbulkan masaalah bila setiap modul hendak disepadukan. Pendekatan ini memeberi lebih banyak kerumitan dari manfaat dan elok dielakkan.
Pendakatan yang lebih baik ialah mendapatkan applikasi dan sistem yang telah siap dibina, diuji dan dibuktikan berjaya dilaksanakan di hospital lain (off the shelf product). Oleh itu, adalah penting untuk pihak hospital menilai rekabentuk aplikasi, pangkalan data, aturan dan terminologi sistem yang hendak diperolehi. Penilaian perlu dibuat oleh mereka yang pakar dalam kegunaan sistem berkomputer, pihak pengurusan dan pengguna sistem. Kriteria utama bagi pemilihan ialah sama ada sistem tersebut bersesuaian dengan perkhidmatan yang terdapat di hospital tersebut, polisinya, prosedurnya dan peralatan sedia ada. Untuk hospital baru, rekabentuk bangunan dan peralatan yang hendak dipilih perlulah disesuaikan dengan sistem yang hendak diperolehi. Oleh itu, sistem pengurusan maklumat perlu difikirkan dan diambilkira pada peringkat perancangan pembinaan hospital.
Namun perlu diingat bahawa tolak ansur dari segi menangani perubahan adalah perlu untuk menyesuaikan sistem maklumat berkomputer serta teknologinya dengan cara kerja yang hendak digunapakai.

Ciri Ciri Utama

Untuk membina satu sistem yang mantap pembina sistem perlu mencipta aplikasi yang berlandaskan polisi, prosedur dan standad yang lazim digunakan oleh pemberi khidmat kesihatan diseluruh dunia. Oleh itu, rekabentuk serta pembinaan memerlukan input dari pelbagai lapisan pemberi khidmat, nasihat dari pakar dalam bidang masing masing dan sumbangan dari mereka yang memahami sistem pemberian khidmat penjagaan pesakit serta kemampuan teknologi maklumat. Jika ini diikuti, pihak hospital lebih yakin dan bersedia menerima cara kerja yang diutarakan dalam sistem yang dibekalkan. 

Selain dari aplikasi yang mudah diguna, sistem memerlukan kaedah penyimpanan data dalam pangkalan data yang tegap. Biasanya, Sistem Mengurus Penyimpanan Data Berhubungan (Relational Database Management Sistem – RDBMS) digunakan. Struktur data diolah dengan menetapkan nama entiti, perhubungan antara mereka, ciri ciri (attribute) setiap entiti dan nilai yang boleh diberikan/diambil untuk ciri tersebut. 

Untuk mencapai matlamat memudahkan petugas membuat kerja, pembangunan sistem maklumat dimulakan dengan aktiviti Kajisemula Kearah Penambahbaikan Proses Kerja (Business Process Re-engineering). Dalam aktiviti ini proses proses kerja, keperluan kemahiran pekerja, bahan asas, perlatan dan sesifikasi hasil kerja dikaji semula. Ia diikuti oleh penetapan secara bertulis polisi dan prosedur dalam bentuk Manual Prosedur Kerja atau Prosedur Oerasi Standad (Standard Operating Procedures). Dari situ, pelbagai elemen data yang perlu di kumpul dan disimpan dikenalpasti supaya pangkalan data yang akan terbina mengambil kira semua keperluan dan padat. Satu elemen sepatutnya diletakkan pada hanya satu lapangan (data field) sahaja dalam pangkalan data dan ciri ciri serta nilai nilai munasabah dikaitkan dengan elemen tersebut.

Sistem Maklumat Hospital yang telah siap dibangun oleh pembekal perlu diubahsuai  sebelum digunakan. Ini melibatkan aktiviti Kajisemula Kearah Penambahbaikan Proses Kerja (BPR). Polisi dan prosedur hospital perlu diselaraskan dengan rekabentuk sistem dan sebaliknya. Satu aspek yang penting ialah penggunaan istilah dan nama yang seragam yang cocok dengan kebiasaan di hospital itu. Contohnya termasuk nama nama untuk:

  1. jenis perkhidmatan, 
  2. lokasi dimana khidmat diberikan,
  3. tugas dan proses,
  4. identiti (nombor siri) peralatan,
  5. pembahagian kategori dan nama jawatan pemberi khidmat,
  6. kategori pesakit,
  7. jenis penyakit,
  8. jenis lawatan yang dibuat oleh pesakit,
  9. jenis pertemuan, 
  10. tajuk bagi setiap kejadian yang berlaku
  11. dan lain lain lagi

Semua elemen data diatas adalah tetap dan disenaraikan sebagai senarai pilihan dalam jadual rujukan (reference tables). Untuk elemen yang nilainya berbeza dari satu kes ke kes yang lain istilah dan nama (terminologi) yang diterima pakai secara standad di seluruh dunia elok digunapakai. Ini memudahkan perkongsian data, kefahaman dan perbandingan dengan data dari tempat lain.
Contoh terminologi tersebut adalah seperti:

  • Snomed CT,
  • LOINC,
  • Kalsifikasi Penyakit ICD 10
  • dll

Pada mulanya pihak pelaksana sistem perlu mewujudkan Sistem Versi Pembangunan sebagai sistem cubaan dengan memasang kesemua peralatan (harware), applikasi (software) dan pangkalan data. Sistem ini perlu diuji dahulu oleh pihak pelaksana. Kemudian, pihak pengguna perlu diberi peluang untuk menguji keupayaan sistem secara menyeluruh dan mendalam secara formal dengan melakukan simulasi berpandukan pelbagai senario kerja. Aktiviti ini dipanggil Ujian Penerimaan Pengguna (User Acceptance Test – UAT). Jika terdapat apa apa kelemahan, ia perlu diperbetulkan dan diuji semula.
Jika dianggap sudah sempurna, Sistem Versi Operasi dipasang dan Ujian Penerimaan Pengguna diulang semula. Jika pengguna berpuas hati, pentauliahan (commissioning) secara muktamad dilakukan oleh pihak berkuasa hospital dan sistem diishtihar sedia untuk dipakai.
Selepas sistem telah digunapakai, penilaian keupayaan sistem perlu dibuat secara berterusan  dan penambahbaikan dilakukan bila perlu.

Jika sebarang sistem legasi (lama) masih perlu digunakan ia perlu diselaraskan dengan sistem terkini. Satu isu sukar ialah perpindahan data dari sistem lama ke sistem baru. Kejayaannya bergantung kepada keserasian teknikal serta juga keseragaman semantik antara pangkalan data baru dengan yang lama supaya data lama boleh dicapai melalui sistem baru.  Pemindahan data perlu dibincangkan dalam rencana lain. 

Integrasi Sistem

Agar mudah difahami, sistem megurus maklumat serta aplikasinya dianggap terdiri dari beberapa modul. Namun begitu dari segi pemakaiannya, setiap unsur dalam Sistem Maklumat Hospital perlulah berfungsi dengan selari merentasi setiap modul dengan lancar. Integrasi merujuk kepada terdapatnya interaksi antara modul/bahagian aplikasi sesama sendiri dan dengan perlatan supaya kerja dan hasilnya tercapai dengan mudah dan lancar. Integrasi yang lemah kerapkali memaksa pengguna melakukan langkah langkah tambahan untuk menyudahkan sesuatu tugas lalu melambatkan tindak balas antara pengguna dengan sistem dan dengan itu kerja yang hendak dibuat.
Seeloknya, sistem Maklumat Hospital yang dibina atau dibeli adalah sistem yang siap bersepadu dari awal lagi dan setiap modul sudah dibuktikan mampu berinteraksi dengan lancar, senang dipakai dan berupaya menyudahkan setiap transaksi dalam masa yang singkat (tindakbalas dalam 2 hingga 10 saat). Usaha menyatukan aplikasi dari pelbagai syarikat yang mempunyai struktur, sistem operasi dan bahasa komputer yang berbeza adalah tersangat rumit dan tidak berbaloi. Integrasi memerlukan pembabitan dua parti dan ini sahaja menimbulkan pelbagai isu termasuk pengagihan tanggung jawab serta kos dan penyelarasan jadual pelaksanaan. Semua ini akan menghalang pelaksanaan yang cepat dan berjaya.

Satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan ialah kerjasama diantara pelbagai perkhidmatan dan jabatan dalam hospital berkenaan. Setiap aplikasi perlu mengambilkira perbezaan keperluan pelbagai jabatan dan unit. Seeloknya, semuanya saling melengkapi, seragam dan standad. Variasi pada perkara tertentu perlu dibincang dan dipersetujukan.

Integrasi perlu diberi perhatian ketika sistem dibina dan juga dipasang. Keberkesanan dan kelancaran sistem maklumat bergantung kepada hubung kait diantara modul modul / sistem kecil didalamnya. Sistem Maklumat Hospital yang mantap mempunyai aplikasi aplikasi pengantara yang menyambung satu modul kepada modul yang lain. Peranan modul modul perantara akan dibincangkan selanjutnya.

Meningkatkan Perhubungan

Salah satu manfaat utama sistem maklumat berkomputer ialah meningkatkan perhubungan antara pemberi khidmat. Berbagai pendekatan boleh digunakan untuk menjadikan perhubungan lebih mudah dan jelas. Dalam Sistem Maklumat Pesakit cara utama ialah perkongsian maklumat/data terkini. Ini dicapai dengan meletakkan semua data yang dijana dan dikutip oleh setiap petugas kedalam pangkalan data yang dikongsi bersama dan kemudiannya disebar untuk tatapan sesiapa yang memerlukannya melalui paparan di skrin komputer. Permohonan, arahan dan tugasan yang perlu dibuat disampaikan dalam bentuk senarai pada paparan tertentu. Sistem e-mel juga diwujudkan dalam sistem untuk memberi notis dalam kotak masuk (in-box) masing masing atau memberi peringatan kepada pengguna semasa mereka membuka applikasi atau secara sebaran mendadak jika perlu. Mesej sebegini boleh disampaikan melalui intranet and internet, papan kenyataan elektronik, dan telefon bergerak. Perhubungan dengan pesakit juga boleh dicapai dengan menggunakan kios interaktif dan portal web. Perhubungan dengan pihak diluar Sistem Maklumat Hospital memerlukan perhatian kepada isu sekuriti dan kerahsian (yang memerlukan perbincangan lanjut).

Sistem Maklumat Untuk Penjagaan Pesakit 

Sistem Maklumat Hospital boleh dibahagi secara kasar kepada dua bahagian:

  1. Sistem Maklumat Untuk Fungsi Penjagaan Pesakit
  2. Sistem Maklumat Untuk Pengurusan
Sistem Maklumat Hospital
Dua Bahagian Besar Sistem Maklumat Hospital

Fungsi klinikal dan fungsi lain berkaitan penjagaan pesakit dipermudahkan oleh satu set sistem yang boleh diberi nama generik ‘Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit’ (Patient Care Information System). Walaupun nama ini cocok dan menarik namun ia digunakan oleh hanya segelintir  penganjur. Namun begitu, istilah ini akan digunakan dalam perbincangan selanjutnya di artikel ini kerana ia akan mewujudkan kategori yang menjadi induk kepada Sistem Maklumat Klinikal serta sistem lain yang memudahcarakan pemberian khidmat kepada pesakit (seperti ditunjuk pada rajah dibawah). Istilah ‘Sistem Maklumat Klinikal’ (Clinical Information System) seperti digunakan disini tidak merujuk kepada kesemua sistem untuk fungsi penjagaan pesakit. Sebaliknya, ia dikhaskan kepada sistem untuk membantu penjagaan pesakit secara langsung (oleh doktor, jururawat, jurupulih dll). Bagi melengkapi Sistem Penjagaan Pesakit, Sistem Maklumat Klinikal perlu dikembarkan dengan Sistem Untuk Bantuan Khidmat Klinikal dan Sistem Pengurusan Pesakit. Setiap satu sistem ini terdiri dari beberapa modul berasingan.

Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit
Pembahagian Secara Konsep Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit

Istilah ‘Sistem Rekod Perubatan Elektronik / Rekod Kesihatan Elektronik’ kerap digunakan tetapi menamakan ia begitu adalah satu kesilapan  dan tidak sepatutnya berlaku. Sistem Maklumat diwujudkan untuk memudahkan kerja bukannya untuk “tujuan mengumpul, dan membentuk rekod perubatan secara elektronik” seperti mana yang difahami oleh sesetengah orang.

Objektif dan Fungsi Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit

Sebagai satu sistem yang memudahkan operasi, kesemua sistem dan aplikasi ini menggunakan pengkomputeran dan teknologi informasi (IT) secara optimum untuk menemukan pencapaian terbaik  pada aspek aspek berikut:

  1. Produktiviti
  2. Keberkesanan
  3. Kesesuaian
  4. Kecekapan
  5. Kualiti
  6. Keselamatan
  7. Kerahsian maklumat

Untuk mencapai matlamat perkhidmatan, sistem maklumat perlu mempunyai keupayaan melaksanakan fungsi berikut:

  1. Membantu petugas melakukan berbagai Proses Penjagaan Pesakit
  2. Meningkatkan perhubungan antara pemberi khidmat melalui perkongsian maklumat
  3. Membolehkan automasi proses kerja melalui jalinan antara modul serta       komponen lain dalam sistem dan persemukaan sistem dengan peralatan seperti komputer, mesin, pencetak dan pengimbas.
  4. Menyediakan bantuan memahami maklumat, membuat rumusan dan mencapai keputusan serta membuat pilihan.
  5. Mengutip, menyimpan dan menyediakan maklumat klinikal (secara berasingan atau lambakan) untuk kegunaan primer (untuk tujuan operasi) dan sekunder (untuk tujuan perancangan, kajian, rujukan dll).
  6. Menyimpan satu rekod kekal mengenai apa jua proses yang dilakukan serta sebarang peristiwa yang berlaku  semasa tempoh penjagaan pesakit dalam bentuk  Rekod Perubatan Elektronik  dan lain lain rekod untuk memenuhi keperluan perundangan.

Kejayaan mencapai objektif dan kebolehan melancarkan fungsi fungsi yang disebut diatas adalah kayu pengukur bagi menilai sesuatu sistem.

Skop, Kandungan Dan Hubung Kait Komponen Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit

Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit terdiri daripada aplikasi/modul berikut:

  1. Sistem Pengurusan Pesakit
    • Modul Pendaftaran
    • Modul Agihan Sumber
    • Modul Caj, Bil dan Bayaran
  2. Sistem Maklumat Klinikal
    • Modul untuk pelbagai pengkhususan klinikal
    • Aplikasi untuk mencatat data (dokumentasi) klinikal
    • Panduan membuat pilihan serta keputusan klinikal
    • Sistem Memantau Secara Automatik (Sentral atau Satu Persatu)
    • Rekod Perubatan Elektronik
  3. Sistem Maklumat Bantuan Klinikal
    • Sistem Maklumat Makmal
    • Sistem Maklumat Tabung Darah
    • Sistem Maklumat Pengimejan (Radiologi)
    • Sistem Maklumat Farmasi
    • Sistem Maklumat Bekalan Makanan dan Minuman
    • Sistem Maklumat Dewan Bedah
    • Sistem Maklumat Pensterilan dan Bekalan Steril
    • Sistem Maklumat untuk khidmat sokongan lain
  4. Sistem Perantara dan Hubung Kait
    • Modul Permohonan/Arahan -Penyampaian Keputusan (CPOE)
    • Pangkalan Data Maklumat Pesakit
  5. Aplikasi Pengurusan Aktiviti Klinikal
    • Panduan membuat pilihan serta keputusan dalam pelaksanaan aktiviti klinikal
    • Modul Pengurusan Kualiti dan Produktiviti
    • Modul Pencegahan dan Kawalan Jangkitan Kuman
    • Aplikasi untuk mengeluarkan dan membuat laporan data klinikal
  6. Kaedah untuk menyampaikan data kepada organisasi luar

Fungsi setiap sistem/aplikasi/modul dan hubung kait antaranya ditunjukkan dalam rajah dibawah:

Semua sistem, aplikasi dan modul diatas tersedia untuk digunakan untuk penjagaan pesakit. Penjagaan bermaksud semua aktiviti utnuk memberi khidmat kepada pesakit mengikut keperluan masing masing (baca artikel Konsep dan Proses Penjagaan Pesakit Secara Menyeluruh).

(Saya bercadang untuk menyediakan artikel artikel untuk menghuraikan pelbagai sistem/modul diatas dalam Bahasa Malaysia pada masa depan. InsyAllah. Sementara itu artikel dalam Bahasa Inggeris ada tersedia)

Sistem Maklumat Klinikal

Sistem Maklumat Klinikal memudahcarakan aktiviti penjagaan pesakit secara terus yang dilakukan oleh pemberi khidmat seperti:

  1. doktor,
  2. jururawat termasuk pembantu perubatan,
  3. jurupulih,
  4. penasihat pemakanan,
  5. juru psikologi klinikal,
  6. jurufarmasi klinikal,
  7. pakar mikrobiologi klinikal,
  8. jururadiologi intervensi,
  9. juru endoskopi,
  10. juru optometri,
  11. juru audiologi
  12. dan banyak lagi.

Sistem Maklumat Klinikal menyediakan petunjuk dan bantuan kepada pemberi khidmat klinikal untuk melakukan tugas mereka disamping mengutip data yang berguna yang telah dijana.

Untuk iitu, Sistem Maklumat Klinikal mengandungi aplikasi dan modul yang membolehkan aktiviti dibawah dilakukan:

  1. Merancang dan merangka (melalui penggunaan Plan Perancangan)
  2. Panduan membuat pilihan serta keputusan klinikal
  3. Mencatat (dokumentasi) data klinikal
  4. Saringan kualiti
  5. Penyimpanan data
  6. Penerbitan dan paparan data
Ssistem Maklumat Klinikal

Sistem Maklumat Bantuan Klinikal

Bantuan Klinikal merujuk kepada perkhidmatan untuk:

  • membuat ujian / penyiasatan
  • membekalkan barang / bekalan

Untuk melengkapkan proses kerja mereka, pemberi khidmat klinikal meminta / memohon perkhidmatan bantuan dari pelbagai unit/jabatan lain melalui Modul Pengurusan Arahan. Keputusan yang terhasil dari ujian dihantar kepada pangkalan data dan dari sana data disediakan untuk tatapan petugas yang menjaga pesakit dalam bentuk paparan yang sesuai. Bekalan seperti ubat-ubatan, bahan steril, darah dan makanan dihantar kepada mereka yang meminta. Status hantaran dan penerimaan (sama ada permintaan diterima, sedang diproses, selesai dilaksanakan) akan direkod didalam pangkalan data diberitahu kepada mereka yang meminta.

Modul Modul Yang Menyumbang Kepada Integrasi Antara Komponen Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit

Sistem Maklumat Penjagaan Pesakit mengandungi pelbagai applikasi yang berlainan. Keberkesanan dan kelancaran keseluruhan sistem bergantung kepada kesinambungan diantara modul modul / sistem kecil didalamnya. Seeloknya mekanisma yang menyumbang kepada integrasi sudah ada dan terbukti berkesan ketika sistem diperolehi.

Perkara perkara berikut perlu diseragamkan:

  1. penggunaan terminologi,
  2. cara pemprosesan data (terutama cara data dikongsi diantara modul)
  3. cara kerja yang menjadi panduan kepada rekabentuk applikasi (polisi, prosedur dan aliran kerja)
  4. cara persembahan muka depan (screen layout)

Bagi sistem yang dibina / diperolehi dari suatu sumber (syarikat) yang sama integrasi ini biasanya sudah dipastikan semasa pembinaanya.
Pihak hospital mungkin berhasrat atau terpaksa memilih modul tertentu dari pembekal (vendor) yang berbeza kerana hendakkan yang terbaik dipasaran (best of the breed). Dalam usaha menyesuaikan dua sistem yang berbeza, kesulitan dari segi integrasi tidak dapat dielakkan. Cara untuk mencapai penyesuaian ialah dengan menetapkan supaya, modul utama sebagai sistem induk. Selepas itu modul modul tambahan perlu diwajibkan mengguna mekanisma perantara dari sistem induk itu.

Modul Perantara Untuk Menghubungkan Pelbagai Aplikasi Sistem Penjagaan Pesakit

Untuk mencapai integrasi, sistem kecil atau modul yang terdapat didalam Sistem Maklumat Klinikal dan juga Sistem Maklumat Bantuan Klinikal perlu dibina bersendikan modul modul yang menyumbang kepada hubung kait dan kesinambungn sistem (dinamakan disini sebagai ‘Modul Perantara’) yang sama. Modul modul yang dimaksudkan ialah:

  1. Sistem Pengurusan Pesakit (Pendaftaran, Agihan Sumber, Caj, Bil dan )
  2. Aplikasi Pengurusan Arahan-Tugas dan Catatan Keputusan (CPOE) termasuk tugas yang dilakukan oleh mesin
  3. Sistem Pengurusan Pangkalan Data (DBMS)
  4. Rekod Perubatan Elektronik
  5. Persemukaan antara Pengguna dengan Sistem (skrin, GUI)

Aplikasi perantara ini perlu difikirkan dan dibina dahulu supaya ia dapat digunakan secara seragam. Kemudiannya ia perlu terus diubahsuai untuk menampung keperluan Sistem Maklumat Klinikal dan Sistem Sistem Bantuan Klinikal. Apa jua aplikasi tambahan yang dikemukakan kemudian perlu serasi dengan aplikasi perantara yang sedia ada.

Peranan Sistem Pengurusan Pesakit 

Sistem Pengurusan (Pentadbiran) Pesakit  berfungsi untuk:

  1. mendaftar pesakit
  2. mengajukan pesakit kepada perkhidmatan yang sepadan
  3. menguruskan caj dan bayaran

Semasa pendaftaran petugas mengumpul data pengenalan/identiti, dan demografi lalu memberi nombor identiti unik kepada pesakit. Data statik lain mengenai pribadi pesakit seperti cara pembiayan juga diambil. Berpandukan nombor pendaftaran ,sistem/aplikasi/modul lain akan menyerap dan menggunapakai data demografi dan pengenalan yang dikaitkan dengan nombor itu, tanpa perlu mengambilnya berkali kali. Aturan ini juga memastikan supaya kesemua data peribadi pesakit, ketika digunakan dalam apa jua aplikasi atau modul, adalah seragam.

Modul pemadanan pesakit dengan sumber (temujanji, penempatan dan senarai pesakit) yang seragam digunakan bagi semua perkhidmatan. Data mengenai cara pembiayaan akan menentukan perkiraan caj sesuatu khidmat atau barang.

Peranan Aplikasi Pengurusan Arahan dan Tugas

Aplikasi Pengurusan Arahan dan Tugas (Order and Task Management) bertindak sebagai:

  • kaedah untuk merancang, mengagihkan, memulakan dan melaksanakan proses atau tugas untuk seseorang atau sekumpulan petugas.  
  • saluran perhubungan didalam kalangan pemberi khidmat mengenai proses penjagaan pesakit yang telah dirancang

Operasi menjaga pesakit dimulakan dengan perancangan dari seseorang pemberi khidmat. Pada permulaannya, perancangan lazimnya dibuat oleh doktor yang menjaga. Untuk melaksanakannya, perancangan perlu ditukar kepada arahan. Arahan boleh berbentuk umum atau spesifik. Arahan umum kepada pemberi khidmat lain boleh ditukar olehnya menjadi arahan spesifik kepada dirinya, petugas lain atau mesin. Walaupun biasanya perkataan ‘arahan’ digunakan, ia lebih berkmaksud permintaan atau permohonan untuk sesuatu proses dibuat atau pesanan supaya sesuatu bahan dibekalkan. Tidak seperti dalam bidang perniagaan pesanan dibuat oleh pemberi khidmat bukan seorang pelanggan. Untuk sesuatu perkhidmatan atau prosedur, berbagai bagai arahan akan dibuat. Oleh itu, semuanya perlu diuruskan supaya dikumpulkan, dikategorikan dan disenaraikan mengikut jenis tugas, keutamaan dan tempat/unit/petugas yang akan melakuannya. Dalam modul ini, nama arahan adalah standad dan disediakan kepada pemberi khidmat dalam bentuk senarai rujukan (reference list).

Malahan, perancangan penjagaan pesakit (care plan) diaktifkan melalui set arahan (order set) yang mengandungi arahan arahan yang bersesuaian dengan keadaan penyakit dan pesakit.

Arahan dan Tugas

Arahan membolehkan transaksi yang dimulakan dalam satu modul merentas masuk ke modul lain untuk dilaksanakan. Setiap arahan akan disertakan dengan penjelasan lebih terperinci yang boleh dibaca oleh penerima (order details). Dari arahan, label boleh dicetak untuk menentukan pengenalan, jenis arahan dan sebagainya. Semua maklumat ini boleh dipaparkan dalam bentuk barkod dan dibaca oleh alat pengimbas. Satu faedah utama ialah sistem ini membolehkan sebahagian besar kerja rutin dilakukan oleh alat/mesin secara automatik.

Catatan Keputusan Yang Terhasil Dari Pelaksanaan Tugas/Proses

Dalam sistem maklumat hospital, arahan akan ditukar menjadi tugas yang perlu dilaksanakan. Tugas akan disenaraikan supaya diagihkan kepada petugas atau mesin yang perlu melakukannya. Setelah tugas selesai, hasil dan keputusannya akan dihantar ke pangkalan data dan dari situ kepada petugas yang memohon.

Pengurusan Arahan-Tugas dan Catatan Keputusan Untuk Kerja Yang Dilakukan Oleh Mesin Melalui Persemukaan Antara Sistem Dengan Mesin

Satu aspek penting integrasi ialah terdapatnya persemukaan antara komputer sistem maklumat dengan komputer yang terdapat pada peralatan (mesin, alat mengukur / menyukat, pecetak, pengimbas dll.). Mekanisme ini membolehkan ‘automasi’ iaitu keupayaan peralatan tersebut untuk dengan sendirinya:

  1. menerima dan memindahkan arahan,
  2. memulakan tindakan dan
  3. mengembalikan keputusan.

Setiap mesin perlu mampu menghantar outputnya ke pangkalan data, sama ada data dalam bentuk nombor, teks atau grafik.

Dengan menggunakan peralatan terkini alat mengukur, menyukat dan menganalisa seperti alat penyukat tekanan darah, alat EKG, alat ujian kimia pada tempat bekerja (POCT), alat pengimbas dan lain lain boleh menghantar data ke Sistem Maklumat Klinikal melalui sambungan kabel atau secara tanpa wayar.

Untuk Sistem Pengurusan Makmal, Sistem Pengimejan Diagnostik dan Sistem Monitor Pemantauan Sentral (Central Monitoring System) seperti di kemudahan penjagaan rapi, persemukaan sudah disediakan semasa sistem sistem itu dibina. Adalah penting bagi pihak hospital menyediakan perlatan makmal, imaging dan monitor yang boleh disemukakan dengan sistem yang hendak/telah diperolehi.

Hubungkait Arahan Dengan Caj

Pengurusan arahan juga berkait rapat dengan prosedur kewangan. Setiap arahan/tugas boleh diberi nilai kos/caj. Apabila tugas telah disiapkan atau barang disampaikan caj akan dimasukkan kedalam bil.

Peranan Pangkalan Data Pesakit

Kemampuan berkongsi data adalah teras kepada keberkesanan Sistem Maklumat Hospital. Pangkalan Data Pesakit membolehkan data yang dijana dan dikumpul oleh petugas dihantar untuk dikumpulkan kedalam stor penyimpanan data. Dari situ, melalui pelayan data, data boleh dipilih, diuraikan, diadunkan, dianalisis, ditafsirkan, diolah,  dipersembahkan dan disebarkan mengikut keperluan. Aplikasi pengurusan pangkalan data (DBMS) dilegkapkan dengan kemampuan menganalisis data. Perkongsian berlaku melalui penyebaran maklumat dalam pelbagai bentuk termasuk dipaparkan di skrin komputer atau diterbitkan sebagai laporan yang boleh dihantar, disimpan dan dicetak (dokumen, label dll). Data yang tersimpan boleh dianalisis dengan menggunakan pelabagi cara untuk menerbitkan bahan penerangan dan rujukan untuk kegunaan klinikal dan pengurusan.

Semua kemampuan diatas akan hanya dicapai jika pangkalan data direkabentuk supaya data walau dari mana asalnya mempunyai ciri ciri yang seragam.

Kemampuan Import dan Eksport Data

Pangaklan data boleh direkabentuk untuk menerima data dari luar. Data boleh diterima secara automatik dari pangakalan data lain jika ciri cirinya selaras. Jika tidak ia boleh dipindahkan secara manual atau dokumen boleh diimbas dan disimpan dalam bentuk grafik (gambar, PDF).

Data juga boleh dieksport kesistem lain seperti:

  1. Pangkalan data yang dikongsi bersama dimana data pesakit  disediakan untuk kegunaan insitusi lain untuk penjagaan pesakit yang sama
  2. Gudang data (Data warehouse) dimana data pesakit yang telah dibuang identitinya  (anonymised patient data) dilonggokkan utuk kegunaan seperti pengurusan strategik dan  penyelidikan oleh syarikat atau kerajaan.

Penggunaan Sekunder Data Pesakit

Disamping digunakan secara terus oleh pemberi hidmat penjagaan kesihatan (penggunaan primer), data juga diperlukan oleh pengguna data lain dari dalam dan luar hospital (penggunaan sekunder). Kemampuan menganalisis, mentafsir dan menyediakan laporan tertentu adalah satu keperluan wajib dalam Sistem Maklumat Hospital. Disamping itu aplikasi menganalisis data keluaran pihak ketiga boleh juga digunakan. Laporan yang terbit dari analisis data boleh digunakan  untuk tujuan:

  1. membantu pihak pengurus merancang pembangunan,  perbelanjaan, pengagihan sumber dan memantau pretasi.
  2. memabantu dalam pengawalan aktiviti klinikal (clinical governance)
  3. memenuhi permintaan dari agensi luar yang memberi faedah kepada komuniti dan negara (seperti Kementerian Kesihatan, Daftar Penyakit, Agensi Audit dsb).

Pihak hospital memerlukan laporan standad (rutin, digunakan secara berterusan) dan juga  laporan khas untuk tujuan tertentu bila diperlukan (ad hoc). Data dari sekumpulan pesakit yang dipilih boleh dikeluarkan dan diolah untuk mendapatkan laporan yang boleh dipakai untuk tujuan penyelian, audit and kajian. Diperingkat lebih tinggi laporan lain yang boleh dijana termasuklah untuk tujuan menentukan indikator utama prestasi  (Key Performance Indicators – KPIs), hantaran kepada Sistem Maklumat Kesihatan Nasional (Reports to  Health Information Management System – HIMS), Daftar Penyakit Nasional (Disease Registry),  Pengawalan Kualiti (Quality Control) dan banyak lagi.

Peranan Rekod Perubatan Elektronik

Menjana, menyususn dan menyimpan data sebagai Rekod Perubatan merupakan satu keperluan perundangan dan professional. Pasukan yang merekabentuk dan membina Sistem Maklumat Hospital perlu mengenalpasti elemen data yang wajib diambil dan dimasukkan kedalam Rekod Perubatan.
Tujuan rekod perubatan diadakan ialah menyimpan catatan mengenai apa yang berlaku kepada pesakit, sama ada proses yang dirancang atau pun kejadian yang tidak dirancang, sepanjang ia berada dibawah jagaan pemberi khidmat dalam tempoh ia berada dihospital. Kewajipan mengadakan rekod perubatan seseorang pesakit terletak kepada semua pemberi khidmat yang mengambil bahagian dalam penjagaan pesakit tersebut. Manakala kewajipan memelihara, menyimpan dan mengawal akses kepadanya terletak kepada pihak pengurusan hospital, biasanya dipertanggung jawabkan kepada Pegawai Rekod Perubatan.

Data yang direkodkan kedalam Rekod Perubatan berasal dari dari pelbagai sumber termasuk:

  1. Catatan yang dibuat oleh semua pemberi khidmat kesihatan:
    • yang dikutip secara aktif melalui temubual dan pemeriksaan
    • penemuan dari pemerhatian/pemantaun
    • rumusan dan pendapat
    • perancangan yang dibuat
  2. Rekod tentang prosedur yang dilakukan keatas pesakit samada untuk tujuan diagnostik atau rawatan terapeutik serta penemuan dan `data yang terhasil darinya.
  3. Keputusan dari ujian yang dibuat melalui pelbagai kaedah (ujian makmal, pengimejan, endoskopi dan dari lain lain modaliti ujian)

Struktur aturan data adalah mengikut kronologi (peredaran waktu). Oleh itu waktu dan tarikh ketika setiap tugas dibuat atau kejadian berlaku perlu dicatat.l

Keseragaman Kandunagan dan Struktur Rekod Perubatan Sebagai Penyumbang Kepada Integrasi

Kerana Rekod  Perubatan terbentuk oleh data yang disumbangkan dari pelbagai sumber, ciri ciri data setiap modul dalam Sistem Maklumt Hospital perlulah diseragamkan baik pada kandungannya mahu pun strukturnya. Bagi setiap tugas yang dilakukan atau kejadian berlaku butiran berikut  perlu dicatat:

  1. Nama/jenis tugas yang dilakukan atau kejadian (insiden) yang berlaku
  2. Bila ia berlaku   (waktu dan tarikh)
  3. Dimana (unit, bilik dsb)
  4. Petugas yang terlibat (melakukan tugas atau menyedari berlakunya kejadian)
  5. Cara bagaimanan data yang dihasilkan
  6. Data yang terhasil dan rumusan yang dibuat

Kelemahan Rekod Perubatan Tradisional

Rekod Perubatan tradisional (atas kertas) digunakan oleh pemberi khidmat kesihatan untuk mencatat dan selepas itu memperlihatkan semula apa yang dicatat kepada pemberi khidmat lain. Ia menjadi alat perhubungan dalam kalangan pemberi khidmat dan sterusnya memungkinkan kesinambungan pelaksanaan pelan penjagaan samada pada lawatan yang sama atau lawatan selajutnya.

Ia juga menjadi sumber untuk tujuan perundangan iaitu mengesahkan apa yang berlaku  kepada pesakit. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan untuk pelbagai kajian.

Kelemahannya yang ketara ialah:

  1. petugas terpaksa membaca dari muka surat ke muka surat dan seterusnya baris kebaris untuk mencari maklumat yang diperlukan
  2. terdedah kepada masalah keupayaan membaca tulisan yang tercatat (legibility)
  3. terminologi dan struktur yang tidak seragam
  4. keterpaksaan petugas menyalin data dari sumber lain
  5. keperluan untuk menyusun semula kepingan kertas yang kerapkali tidak teratur

Kelebihan Kaedah Elektronik

Kaedah Elektronik sangat berbeza dari kaedah pencatatan atas kertas. Dalam sistem berkomputer, kebanyakan fungsi rekod perubatan (iaitu pengutipan, penyimpanan, dan penyebaran data) diambil alih oleh Sistem Maklumat Hospital. Catatan dibuat dengan menaip atau memilih kandungan sediada. Dengan itu masalah tulisan tidak dapat dibaca tidak lagi timbul. Kebolehan pengisian dengan memilih dari senarai yang disediakan  memastikan keseragaman terminologi. Kerana data disimpan didalam pangkalan data, kandungan Rekod Perubatan boleh dibina dengan menggunakan aplikasi penerbitan data yang menyatukan data dari semua sumber. Dengan itu struktur dan kandungan Rekod Perubatan akan diseragamkan.

Perubahan Kegunaan Rekod Perubatan

Walaupun rekod perubatan masih lagi perlu disediakan untuk memenuhi kehendak undang undang dan peraturan professional, fungsinya sebagai sumber data sudah berubah kerana diganti dengan kaedah memapar data mengikut keperluan. Dalam sistem maklumat berkomputer, petugas tidak perlu lagi mencari tempat letaknya sesuatu maklumat. Sebaliknya, data yang diperlukan olehya untuk melakukan sesuatu tugas akan dipilih dan dipersembahkan oleh sistem mengikut bentuk yang sesuai. Seberapa banyak bentuk paparan yang mungkin boleh diolah untuk pelabagai tujuan melalui cara termasuk:

  1. Kumpulan data diunjurkan melalui menu atau penunjuk arah (navigator).
  2. Data dari tempoh berbeza (yang lepas dan terkini) boleh ditunjukkan seiring bagi menunjukkan perbezaan.
  3. Data dari sumber berbeza boleh ditunjukkan bersama (contoh: data klinikal boleh ditunjukkan disamping data ujian)
  4. Data bersiri dipersembahkan dalam bentuk jadual (spreadsheet) dan graf

Oleh itu fungsi perhubungan melalui perkongsian data tidak lagi bergantung kepada rekod perubatan. Namun ia (atau ringkasan darinya) masih lagi berguna untuk perkongsian pada lawatan lain di hospital yang sama dan lebih lagi, dalam bentuk ringkasan, bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit yang mendapat rawatan di hospital lain (continuity of care).

Dalam sistem maklumat hospital, pengurusan data tidak lagi tertumpu kepada mewujudkan Rekod Perubatan tetapi kepada cara memudahcara pemberi khidmat merancang dan melaksanakan tugas tugas penjagaan pesakit. Malahan, Rekod Perubatan Elektronik sebagai sebuah dokumen terbentuk bukan semasa data dimasukkan tetapi dari proses terkemudian dengan menerbitkan data dari pangkalan data dan menggubahkannya supaya mengandungi elemen data yang wajib dimasukkan dalam rekod perubatan dan diaturkan mengikut reka bentuk yang ditetapkan.   Penerangan lanjut dalam bahasa Inggeris terdapat pada artikel EMR di laman web ini juga. 

Peranan Persemukaan Pengguna Dengan Sistem (GUI) Yang Seragam

Dalam Sistem Maklumat Hospital, ketika seseorang petugas hendak mendapatkan maklumat atau melakukan sesuatau tugas ia akan disajikan dengan paparan muka depan (screen layout) berbentuk menu atau petunjuk kepada kumpulan data tertentu. Cara ini disebut sebagai mekanisma persemukaan pengguna dengan sistem. Menu atau petunjuk kandungan data mempunyai pautan yang menjurus kepada data yang bersesuaian dengan peranan pemberi khidamt itu dan tugas yang hendak dilakukan dan diselaraskan secara automatik ketika log-masuk. Oleh itu bentuk paparan muka depan dan menu selanjutnya seleoknya sudah siap diadun semasa aplikasi dibina. Lazimnya, menu induk (menu utama) menunjukkan data untuk skop yang luas. Terdapat dua tujuan paparan data:

  • menunjukkan ringkasan untuk tujuan mengurus semua kes dibawah jagaan sesorang petugas atau sesuatu unit
  • butiran lebih lengkap tentang seorang pesakit tertentu secara keseluruhan atau bagi aspek tertentu

Menu anak serta petunjuk kandungan atau petunjuk arah tugas (navigator) akan menghadkan paparan pada sebahagian kandungan data yang lebih spesifik. Petunjuk berbentuk grafik (gambar) yang intuitif boleh juga digunakan.

Ketika seorang pemberi khidmat melakukan sesuatu tugas, dia perlu diberi pilihan memilih untuk disajikan paparan data atau aplikasi tertentu yang bersesuaian dengan tugas itu. Kerapkali petugas beralih peranan ataupun tempat kerja dan perlu memakai pelbagai aplikasi. Oleh itu adalah penting bagi menseragamkan persemukaan pengguna dengan sistem (user system interface – UI). Menu dan penunjuk kepada kandungan (navigator) perlu mudah dikenali dan difahami (intuitif) dengan menetapkan dimana ia diletak, aturannya, serta penggunaan skim warna dan bentuk huruf (font) yang standad.

Paparan Data Selaras Dengan Aktivit Sedang Dijalankan

Seeloknya bila saja seorang pemberi khidmat log masuk, paparan muka depan menunjulkan applikasi khusus bersesuaian dengan keperluan permulaannya. Di muka yang sama, pautan kepada aplikasi lain yang diperlukan selanjutnya juga disediakan.  

Sistem Maklumat Pengurusan

Fungsi Sistem Maklumat Pengurusan

Pihak pengurusan hospital perlu memberi perhatian kepada tiga fungsi sesebuah hospital iaitu sebagai:

  1. Fungsi utama iaitu memeberi khidmat penjagaan pesakit
  2. Penyediaan khidmat hospitaliti
  3. Penyelenggaraan fasiliti

Sistem Maklumat Pengurusan ialah nama umum kepada samada satu sistem komprehensif meliputi semua fungsi pengurusan hospital dari satu pembekal yang atau satu set yang terdiri dari modul berasingan yang disatukan selepas diperolehi.
Istilah ‘sistem pengurusan’ bermaksud sistem yang digunakan untuk pengurusan operasi. Istilah lain seperti Sistem untuk Perancangan Sumber Syarikat (Enterprise Resource Planning) kurang sesuai kerana maksud nama ini tidak sepadan dengan fungsi dan tujuannya (walaupun kerap digunakan). Perancangan sumber ialah sebahagian dari perancangan strategik dan fungsinya lebih kepada bantuan membuat rumusan dan pilihan.

Komponen Sistem Maklumat Pengurusan

Sistem maklumat yang membantu operasi perkhidmatan terdiri dari sistem kecil atau modul modul untuk fungsi berikut:

  1. Pentadbiran Am
  2. Akaun (Caj, Bil dan Menerima Bayaran)
  3. Kewangan (Pembiayaan dan Perbelanjaan)
  4. Sumber Manusia
  5. Pembelian Barangan dan Stok-Inventori
  6. Pemasaran dan Perhubungan Awam
  7. Pemberian khidmat hospitaliti
  8. Penyelengaraan Fasiliti
  9. Bantuan Membuat Rumusan dan Keputusan
Sistem Maklumat Pengurusan Hospital

Sistem Maklumat Pengurusan Hospital diasaskan dari polisi dan prosedur yang berbeza dari penjagaan pesakit. Huraian mengenainya perlu dibincangkan secara berasingan.

Namun terdapat bebarapa aspek pengurusan yang perlu dan biasanya sudah dimasukkan kedalam sistem penjagaan pesakit termasuk modul berikut:

  1. Agihan tugas dan sumber termasuk jadual tugas (roster) dan jadual penempatan pesakit
  2. Caj, Bil dan Penerimaan Bayaran
  3. Pemberian Khidmat Hospitaliti

Modul agihan sumber serta modul caj, bil dan bayaran adalah sebahagian dari Sistem Pengurusan Pesakit sebagai pelanggan.  Caj bergantung  kepada tugas yang dibuat atau barang yang dbekalkan yang fungsinya ialah sebahgaian dari Modul Membuat Permohonan/Arahan -Penyampaian Keputusan (CPOE)

Sistem Pengurusan Pesakit juga melaksanakan  beberapa aspek pengurusan hospitaliti melalui modul berikut:

  1. Pengurusan katil bagi pesakit dalam dan rawatan harian
  2. Pengurusan bilik, ruang dan keselesaan bagi pesakit luar
  3. Menyediakan makan-minum

Pengurusan pengguna sistem (kawalan akses, pemberian keistimewaan) bergantung kepada input dari Modul Sumber Manusia.

Jelas sekali, terdapat modul dalam Sistem Penjagaan Pesakit yang merentasi kedalam Sistem Pengurusan Hospital.  Modul modul ini mengambil dan memberi input kepada satu sama lain dan perlu diselaraskan.

 
%d bloggers like this: